7 KEROSAKAN ALAM : DULU DAN KINI
QS Surah Ar-Rum 30:41
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
Bencana alam, penyakit, masalah keperluan, konflik antara negara, masalah sosial, ketidakstabilan ekonomi, dan perpecahan politik adalah tujuh contoh besar masalah yang sering dipaparkan dalam dada akhbar-akhbar negara dan dunia. Inilah kerosakan alam yang sedang berlaku.
Apakah punca kepada kerosakan ini? Berdasarkan Surah Ar-Rum 30:41, puncanya tidak lain adalah kerana perbuatan manusia sendiri. Namun, perbuatan manusia yang manakah yang menyebabkan semua kerosakan ini ditimpakan Tuhan ke atas kita? Itulah perpecahan.
Perpecahan antara manusia adalah satu perbuatan yang tidak diredhai Tuhan, sehingga dengan perbuatan itu, kita ditimpa azab kerosakan alam.
QS Surah Al-Fajr 89:12
فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ
“Lalu mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu.”
Ayat ini menceritakan tentang kerosakan yang telah dilakukan oleh kaum Tsamud dan kaum Fir’aun. Berikut adalah ayat yang membincangkan sebab mengapa Fir’aun dikatakan membuat kerosakan:
QS Surah Al-Qasas 28:4
إِنَّ فِرْعَوْنَ عَلَا فِي الْأَرْضِ وَجَعَلَ أَهْلَهَا شِيَعًا يَسْتَضْعِفُ طَائِفَةً مِّنْهُمْ يُذَبِّحُ أَبْنَاءَهُمْ وَيَسْتَحْيِي نِسَاءَهُمْ إِنَّهُ كَانَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ
“Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.”
Disebabkan Fir’aun menjadikan masyarakat hidup berpecah-belah, Allah menurunkan bermacam-macam bala kepada tamadun Mesir purba. Mereka ditimpa bencana penyakit, kutu, katak, belalang, serta pelbagai lagi musibah, termasuklah kejatuhan ekonomi dan sosial.
Perpecahan Membawa Kerosakan, Kesatuan Membawa Kejayaan
Allah mengajarkan di dalam kitab-Nya bahawa perpecahan antara manusia mendatangkan konsekuensi kerosakan kepada seluruh sistem kehidupan. Sebaliknya, kesatuan manusia yang dicapai oleh umat para rasul membawa keberkatan, sehingga tamadun mereka diredhai dan dikurniakan nikmat kejayaan serta ilmuwan yang hebat.
Dalam sejarah, kitaran kerosakan (perpecahan) ini selalu berlaku sebelum tertegaknya semula kehidupan yang sejahtera (kesatuan) yang dibawa oleh para utusan Allah. Setiap rasul memainkan watak protagonis yang mengajak umat kepada kesatuan, manakala watak antagonis mengajak kepada perpecahan.
Watak-watak antagonis dalam sejarah peradaban manusia:
- Namrud
- Fir’aun
- Herodes
- Haji Amru bin Hisyam (Abu Jahal)
Kemuncak kezaliman mereka menjadi tanda kepada fasa akhir kitaran kehancuran sesebuah tamadun yang rosak dan dimurkai Tuhan.
Ikuti artikel kami “Kesatuan dan Perpecahan” untuk mendalami topik ini dengan lebih lanjut.