ISME

Kata ism (Bahasa Melayu: isme) membawa maksud ideologi/fahaman. Dari mana asal kata ism ini? Banyak kata dasar dari pelbagai bahasa lain yang dipinjam ke dalam bahasa Inggeris dan Melayu. Antara perkataan tersebut ialah ism, yang diambil dari kata Arab ismu, yang bermaksud “nama”.

Dari nama terkandung sifat, dari sifat maka kita mengenal ideologi seseorang atau sesebuah institusi. Sebagai contoh, dari nama Nabi Muhammad (s.a.w), kita mengenal sifat baginda. Dari sifat baginda pula, kita tahu apakah ideologi yang diikutinya, iaitu suatu fahaman yang diselami dari al-Qur’an.

Begitu juga Allah sebagai Rabbul ‘Alamin. Dia mempunyai al-Asma’ul Husna, yang dikenali juga sebagai 99 nama yang baik. Dari nama-nama itulah kita mengenal sifat Tuhan, dan dari mengenal sifat-Nya, kita tahu ideologi atau fahaman yang diterapkan oleh-Nya di dalam manual pendidikan asas kehidupan manusiawi, iaitu al-Qur’an.

Bentukan Dien yang ditegakkan Nabi Muhammad merupakan acuan (sibghah) atau cetakan dari Allah. Cetakan ini dicatatkan di dalam risalah-Nya, iaitu Taurat, Injil, dan al-Qur’an. Bentukan dien yang didirikan para pendiri ketamadunan Islam merupakan ideologi yang diajarkan Allah kepada para utusan-Nya yang menjadi juruselamat kepada umat masing-masing.

Awalud-Dien Ma’rifatullah
Kata ini sering kita dengar, namun benarkah kita memahaminya? Permulaan Dien adalah dengan mengenal Allah. Maka, di awal pembentukan Dien (sistem kehidupan manusia), seseorang harus terlebih dahulu mengenali apakah ideologi yang diajarkan oleh Allah.

Mari kita perhatikan beberapa petikan ayat al-Qur’an yang menjelaskan ideologi yang diajarkan Tuhan di dalam kitab-Nya:

1. Tujuan Penciptaan Jin dan Manusia
QS Surah Adh-Dhariyat 51:56
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa tujuan utama penciptaan manusia adalah untuk mengabdi kepada Allah. Dengan kata lain, seluruh sistem kehidupan manusia harus berlandaskan konsep pengabdian ini.

2. Kewajipan Menjalankan Hukum-hukum al-Qur’an
QS Surah An-Nur 24:1
سُورَةٌ أَنزَلْنَاهَا وَفَرَضْنَاهَا وَأَنزَلْنَا فِيهَا آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ لَّعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
“(Ini adalah) satu surat yang Kami turunkan dan Kami wajibkan (menjalankan hukum-hukum yang ada di dalamnya), dan Kami turunkan di dalamnya ayat-ayat yang jelas, agar kamu selalu mengingatinya.”

Allah telah menurunkan al-Qur’an sebagai panduan hidup, bukan sekadar untuk dibaca atau disyairkan, tetapi untuk dipegang dan dijalankan hukum-hukumnya.

3. Perintah Mengambil Islam Secara Keseluruhan
QS Surah Al-Baqarah 2:208
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”

Ayat ini menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar satu bahagian kecil dalam kehidupan, tetapi satu sistem kehidupan yang menyeluruh. Manusia diperintahkan untuk mengambil Islam secara sepenuhnya, tanpa terpengaruh dengan sistem yang bertentangan dengan ajaran Tuhan.

Dari petikan ayat-ayat di atas, kita dapat memahami bahawa ideologi Tuhan adalah:

  1. Mengabdi kepada-Nya secara mutlak
  2. Wajib menjalankan hukum-hukum yang terdapat dalam al-Qur’an
  3. Mengamalkan Islam sebagai sistem kehidupan secara keseluruhan

Itulah bentuk pengabdian yang dituntut oleh Tuhan ke atas ciptaan-Nya. Melalui ism (ideologi) yang diajarkanNya, kita lebih faham apa yang dituntutNya ke atas kita (para peng’abdi) di dalam penegakan sebuah ketamadunan. Semoga kita termasuk dalam golongan yang mendapat petunjuk. Alhamdulillah.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *