KESATUAN DAN PERPECAHAN

Kesatuan dan perpecahan adalah dua perkataan yang saling berlawanan. Ia merupakan dua kata yang bersinergi untuk membentuk sebuah keseimbangan alam, menyeimbangi antara yang baik dan buruk. Sejarah menceritakan bahawa dengan adanya azab perpecahan, manusia mula mencari jalan kesatuan. Tetapi selepas manusia mula melupakan nikmat kesatuan itu, lalu terpecah-belahlah mereka.
Di dalam al-Qur’an, Taurat, dan Injil, secara keseluruhannya menceritakan tentang kesatuan umat manusia dan perpecahan yang berlaku berulang-ulang kali merentas zaman peradaban manusia. Pada setiap zaman, kesatuan ini dicetuskan oleh seorang juruselamat yang dilantik [(Arab – arsala, rasul), (Aram/Hebrew – masaha, mesiakh)] untuk membimbing umat ke arah jalan yang lurus Siratal Mustaqim, iaitu sebuah jalan yang mengajak manusia kepada kesatuan.

Apakah yang tidak diletakkan pada tempatnya? Itulah ketauhidan (kondisi penuh cahaya/nur). Selayaknya, dalam konteks sosiopolitik, manusia itu diciptakan Tuhan berada dalam kondisi kesatuan supaya masalah peradaban dan sistem pengelolaan manusiawi menjadi lebih baik dan harmoni.

Kata dasar dari tauhid itu adalah ahad atau wahid, yang bermaksud satu. Dengan terwujudnya umat yang tauhid, maka kehidupan dan kebergantungan hidup mereka hanyalah diabdikan kepada satu-satunya sistem kehidupan (peradaban) yang suatu ketika dahulu dipanggil khalifah. Peradaban yang ulung itu telah melahirkan cendekiawan, saintis, ahli matematik, ahli fizik, ahli kimia, dan pelbagai cabang ilmu yang dipelopori oleh umat yang diredhai Allah. Mereka diredhai kerana satu dasar konstitusi yang dipegang teguh oleh mereka—kesatuan.

Dengan kesatuan, manusia menjadi lebih kuat, lebih hebat, dan lebih berupaya mencipta kejayaan kerana semua para ilmuan dapat disatukan tanpa kompromi dan prejudis politikal yang selalunya bersifat mengekang kerana egois serta hasad dengki manusia yang tamak. Perhatikan ayat di bawah:

QS Surah Yunus 10:19

وَمَا كَانَ النَّاسُ إِلَّا أُمَّةً وَاحِدَةً فَاخْتَلَفُوا وَلَوْلَا كَلِمَةٌ سَبَقَتْ مِن رَّبِّكَ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ فِيمَا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ

“Manusia dahulunya hanyalah satu umat (ummatan wahidah), kemudian mereka berselisih. Kalau tidaklah kerana suatu ketetapan yang telah ada dari Tuhanmu dahulu, pastilah telah diberi keputusan di antara mereka tentang apa yang mereka perselisihkan itu.”

Perhatikan pula apa yang dikatakan oleh kitab Allah tentang perpecahan. Kata pharroqu dienahum dalam Surah ar-Rum 30:32 merujuk kepada perpecahan dien. Menurut ayat yang sama, perpecahan dienlah yang dikatakan sebagai perbuatan orang-orang yang syirik.

Dien bukan sekadar bermaksud agama. Dien merupakan sistem tatanan kehidupan manusia yang menjadi tempat sandaran dan teduhan umat manusia. Dien yang mengajak kepada kesatuan itulah ad-Dien as-Samawat (sistem langit) atau kondisi cahaya. Manakala dien yang mengajak kepada perpecahan itu yang dikatakan ad-Dien al-Ard (sistem bumi) atau kondisi gelap.

Bukankah kata “parti” itu berasal daripada kata dasar Inggeris part, yang membawa maksud bahagian-bahagian atau pecahan-pecahan? Itulah sistem yang ditegakkan oleh para pendiri taghut yang ingin menguasai dunia dengan moto perpecahan mereka—divide and conquer. Kita telah lama hidup dipecah dan terpecah.

Saudara, jika al-Qur’an dijadikan bahan rujukan dan pedoman untuk orang yang hidup akalnya, dan tidak sekadar dijadikan kata-kata yang disyairkan sahaja, maka al-Qur’an itu dapat menjadi cahaya petunjuk kepada orang yang yakin. Ia mampu menyuluh jalan dan merupakan manual kehidupan yang diturunkan oleh Rabbul ‘Alamin ke arah ketauhidan. Tetapi tanpa tadabbur petunjuk dari kitab Allah, ia tidak dapat menjadi cahaya yang mampu menerangi jalan yang lurus (Siratal Mustaqim) ke arah sebuah peradaban yang lebih syumul.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *